Isnin, 10 Ogos 2009

04/08/2009 : Rosmah cadang festival bahasa untuk prasekolah

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata, Festival Bahasa dan Sastera yang diadakan khusus untuk pelajar bukan Melayu, diperluas sehingga ke peringkat prasekolah pada tahun depan.

Beliau berkata, menguasai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia merupakan sesuatu yang wajib dikuasai segenap rakyat supaya dapat memupuk rasa cinta dan taat kepada negara.

``Kita sedar bahawa bahasa kebangsaan adalah bahasa pemersatu bangsa dan bahasa perpaduan di negara kita. Justeru, usaha untuk melibatkan pelajar dalam aktiviti bahasa dan sastera sangat tepat untuk dilaksanakan.

``Lebih istimewa lagi, kegiatan ini dibuat untuk pelajar yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Malaysia. Melentur buluh biarlah dari rebungnya,’’ katanya ketika merasmikan Malam Semarak Perpaduan: Perpaduan Melalui Bahasa Kebangsaan di sini malam tadi.

Festival Bahasa dan Sastera 2009 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka itu diadakan untuk pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Program yang berlangsung selama tiga bulan mulai Jun lepas, antara lain, menganjurkan pertandingan bercerita, berpidato, mendeklamasi puisi dan koir. - Bernama
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Tiada ulasan: