Khamis, 23 Julai 2009

11/06/2009 Kenal pasti potensi generasi baru

KUCHING 10 Jun - Pendidikan prasekolah merupakan platform paling tepat bagi mengenal pasti generasi baru yang berpotensi untuk meneroka sumber negara pada masa depan.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, untuk tujuan tersebut, pendidikan awal perlu memberi tumpuan kepada kaedah terbaik bagi membangunkan potensi mereka.

Beliau berkata, kaedah itu diharap dapat membangkitkan minat serta keyakinan kanak-kanak sekali gus mendorong mereka untuk berdaya saing.

''Kita mahu negara ini mempunyai ramai anak-anak yang bijak pandai malah dikelilingi suasana kemajuan yang dicapai dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi.

''Saya berharap kita mampu menyediakan generasi muda untuk masa depan yang mempunyai potensi dalam meneroka sumber yang kaya untuk memajukan negara di samping memelihara warisan budaya masyarakat masing-masing,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kovensyen Pendidikan Prasekolah Siri 4/2009 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Taib bersetuju dengan cadangan Fatimah yang mahu mewujudkan Jawatankuasa Penetapan Piawaian Kualiti Prasekolah agar pendidikan awal mempunyai tanda aras bagi melahirkan generasi muda yang berkualiti.

Beliau turut mencadangkan dua kriteria untuk memperkasakan pendidikan awal iaitu menarik lebih ramai penyertaan ibu bapa dan menjemput pakar bagi memberi garis panduan serta kaedah lain dalam memantapkan potensi kanak-kanak.

Katanya, kualiti pendidikan awal perlu mempunyai tahap piawaian yang bersesuaian dari semasa ke semasa bagi melahirkan generasi muda yang cemerlang.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Tiada ulasan: