Jumaat, 31 Julai 2009

28/07/2009 : 200,000 kanak-kanak ke prasekolah

PUTRAJAYA 27 Julai - Lebih 200,000 lagi kanak-kanak dijangka dapat mengikuti pendidikan prasekolah menjelang 2012 hasil perincian Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) ketiga yang mahu memperluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, ketika ini terdapat kira-kira 300,000 atau 60 peratus kanak-kanak yang berpeluang memasuki pendidikan prasekolah.

''Setiap tahun kira-kira 500,000 kanak-kanak mendaftar memasuki tahun satu di sekolah kebangsaan di seluruh negara tetapi lebih kurang 200,000 yang menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

''Apa pun sasaran kita selepas 2012 adalah 100 peratus kanak-kanak yang memasuki tahun satu dapat melalui pendidikan prasekolah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperincikan enam bidang NKRA menyasarkan kira-kira 80 peratus kanak-kanak yang memasuki tahun satu pada setiap tahun telah melalui pendidikan prasekolah menjelang tahun 2012.

Bagaimanapun Alimuddin memberitahu, pihaknya tidak menghadapi masalah untuk mendidik kanak-kanak yang tidak mempunyai kemahiran 3M apabila memasuki tahun satu.

''Cuma berdasarkan kajian beberapa ahli pendidik sebelum ini, kanak-kanak yang mempunyai kemahiran 3M sebelum memasuki tahun satu akan mudah dilatih dengan kemahiran lain," katanya.

Ditanya mengenai 100 buah sekolah yang akan menyertai projek perintis Sekolah Berprestasi Tinggi, beliau berkata, pemilihan sekolah itu bukan hanya berkisar pada akademik tetapi juga pencapaian keseluruhan sekolah tersebut.

''Ia termasuk pencapaian disiplin pelajar, tahap penguasaan pelajar terhadap bidang keutamaan sekolah, kebersihan dan kekemasan sekolah serta kejayaan-kejayaan sekolah dalam bidang kokurikulum.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Tiada ulasan: