KUALA LUMPUR 2 Nov . — Guru lulusan ijazah akan diambil bagi menjadi pendidik di peringkat prasekolah di masa depan bagi meningkatkan kualiti pembelajarannya selaras dengan Dasar Pendidikan Negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyediakan guru terlatih ini boleh mengurangkan masalah kurangnya penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dalam kalangan pelajar.
"Kita berpendapat, lagi awal untuk kita mulakan pendidikan anak-anak kita, lagi baik. Maka guru yang kita hendak sediakan mestilah guru yang terlatih, bukan guru yang berkelulusan rendah,” katanya ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Dewan Rakyat hari ini.
Tan meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan mempertingkatkan kualiti pendidikan prasekolah dan bagaimana semua kelas tadika yang dianjur oleh kerajaan dan swasta dapat dipantau kurikulumnya serta perbezaan antara prasekolah dengan Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (Permata).
Muhyiddin berkata pelajar prasekolah lebih mudah menerima ilmu pengetahuan ketika muda, dan dengan sebab itu, kementerian memberikan perhatian kepada peringkat umur ini terutama dalam usaha mempertingkatkan penguasaan 3M, yang merupakan sebahagian daripada bidang keberhasilan utama (NKRA) Kementerian Pelajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan