Ahad, 22 November 2009

25/10/2009: NKRA jadi paradigma baru

KERAJAAN telah melancarkan paradigma baru prestasi dan pencapaian hasil melalui pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).

Ia merupakan satu inisiatif utama untuk melakukan transformasi Malaysia ke arah penyampaian perkhidmatan bertaraf dunia.

NKRA akan memberi fokus kepada penyampaian perkhidmatan awam berasaskan hasil selaras dengan kehendak rakyat.

Penyampaian NKRA adalah berdasarkan kepada empat prinsip utama iaitu:

1. Rakyat didahulukan - memberi tumpuan kepada kehendak kepentingan rakyat.

2. Kerjasama antara sektor awam dan swasta - membangunkan keupayaan bagi pelaksanaan NKRA secara tetap dan berkesan.

3. Penggunaan sumber secara berhemat - memaksimumkan produktiviti melalui penggunaan sumber secara berkesan.

4. Tahap penghasilan yang tertinggi - menanda aras berdasarkan piawaian antarabangsa.

Bagi mencapai NKRA tersebut, antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan termasuk:-

Jenayah

l Meningkatkan kehadiran polis di tempat awam

l Memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mencerahkan kawasan yang kerap berlaku jenayah.

Rasuah

l Pengisytiharan harta

l Dasar 'Whistleblower'.

Pendidikan

l Prasekolah diwajibkan

Isi Rumah Berpendapatan Rendah

l Jaminan infrastruktur asas

Pengangkutan Awam di Bandar

l Landasan kereta api baru

l Penyeragaman tambang dan tiket tanpa tunai

Di samping NKRA, setiap kementerian telah ditugaskan untuk mengenal pasti dan melaksanakan KRA Kementerian (MKRA). MKRA tersebut adalah sejajar dengan NKRA serta merupakan tanggungjawab utama kementerian berkenaan.

Sejumlah 110 MKRA telah dikenal pasti di semua 24 kementerian, yang mana 49 peratus berteraskan rakyat, 28 peratus ekonomi, 22 peratus fokus terhadap masa depan dan satu peratus lain-lain.

Unit Penyampaian Pengurusan Prestasi (PEMANDU) yang dibentuk di bawah Menteri Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi untuk memacu, mengurus dan memastikan kejayaan pencapaian NKRA.

Unit itu menyediakan garis panduan dan memantau pematuhan dan pencapaian MKRA dan struktur PEMANDU adalah berdasarkan kepada 'Hybrid Resourcing Model', merangkumi tenaga kerja terbaik daripada sektor awam dan swasta.

Satu Goverment Transformation Programme (GTP) Lab bagi setiap NKRA telah dilancarkan dan lab tersebut akan menganalisis NKRA dengan lebih terperinci bagi membangunkan rangka kerja pelaksanaan.

NKRA akan menyegerakan momentum bagi transformasi Malaysia daripada sebuah negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi ke arah pencapaian matlamat sebagai negara maju menjelang 2020.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Tiada ulasan: