KUALA LUMPUR 23 Okt. – Bajet 2010 merupakan inisiatif berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan semua kelompok masyarakat mendapat faedah daripadanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar tanpa mengetepikan sasaran pertumbuhan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin justeru yakin bajet yang bertemakan 1Malaysia, Kemakmuran Bersama itu bukan sahaja bakal mengurangkan beban hidup rakyat bahkan mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tiga peratus sekali gus mengurangkan defisit negara.
Baginya, sasaran kerajaan untuk menurunkan kadar defisit pada tahun 2010 pada paras 5.6 peratus daripada 7.4 peratus tahun adalah realistik.
“Dalam situasi ekonomi yang agak mencabar, Perdana Menteri masih mampu memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pertumbuhan daripada negatif tiga peratus kepada tiga peratus iaitu peningkatan kira-kira enam hingga tujuh peratus dalam masa setahun.
“Bagi saya ini adalah tindakan berani dan kita yakin semua rakyat akan dapat faedah daripada bajet ini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Bagi Muhyiddin, bajet tersebut meliputi semua kumpulan masyarakat iaitu daripada kalangan petani, pekebun kecil, nelayan, pesara, kakitangan kerajaan dan pelajar.
“Saya yakin ia akan menyentuh hati nurani rakyat sama ada yang miskin atau yang kaya kerana kesemua mereka akan mendapat faedah,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, antara mesej penting Bajet 2010 adalah usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan bagi membolehkan peluang-peluang pekerjaan diwujudkan.
‘‘Melalui langkah ini ia akan memberi banyak ruang kepada kerajaan untuk memulihkan segera ekonomi negara kerana umum mengetahui ketika ini pertumbuhan ekonomi kita berada pada tahap negatif tiga peratus.
‘‘Saya yakin dengan keberanian Perdana Menteri dalam memperkenalkan pelbagai inisiatif di dalam bajet kali ini, pertumbuhan ekonomi kita pada tahun depan boleh mencecah positif tiga peratus,” katanya lagi.
Selain itu beliau berkata, pelaburan infrastruktur termasuk di luar bandar juga antara langkah untuk memastikan ekonomi terus berkembang.
‘‘Satu lagi mesej yang perlu diberikan tumpuan melalui bajet ini adalah langkah kerajaan untuk membentuk model ekonomi baru yang berasaskan kepada inovasi dan kreativiti. Ini adalah usaha kita untuk merealisasikan hasrat melahirkan lebih ramai rakyat berpendapatan tinggi,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana terus memberi tumpuan kepada bidang pendidikan di dalam bajet kali ini.
Beliau berkata, terdapat empat bidang telah dinyatakan secara khusus iaitu memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar celik huruf dan angka, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan mengiktiraf pengetua dan guru besar sekolah.
‘‘Keempat-empat bidang ini akan menjadi Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama kementerian bagi memastikan ia menjadi dasar sistem pendidikan negara,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan