Ahad, 22 November 2009

29/10/2009: Lima alternatif baru majukan desa

KOTA TINGGI 29 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan lima alternatif baru bagi membantu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk mempercepatkan proses pembangunan desa serta pembentukan pelan tindakan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, KKLW perlu menggubal satu Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar Nasional yang menyediakan hala tuju, strategi serta dasar pembangunan luar bandar secara komprehensif termasuk bagi Sabah dan Sarawak.

"Pelan induk itu hendaklah mengambil kira pelan tindakan daerah dan desa meliputi semua jabatan dan agensi kerajaan," katanya dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, langkah kedua yang perlu diberi perhatian adalah penstrukturan semula sistem perancangan desa di daerah iaitu Pejabat Daerah perlu mengambil kira Pelan Tindakan Desa yang dihasilkan oleh penduduk kampung.

Beliau berkata, pengiktirafan Pejabat Daerah penting untuk memastikan kejayaan program yang dirangka penduduk untuk memajukan kampung mereka.

Selain itu, katanya, pembentukan Kumpulan Pembimbing Pelan Tindakan Desa daripada kalangan masyarakat kampung juga merupakan aspek penting untuk mempercepatkan proses pembangunan di setiap desa.

"Kaedah ini melibatkan individu di kampung seperti guru sekolah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan, pesara kerajaan, ahli perniagaan dan individu lain yang berpotensi menjadi pembimbing dalam pelan tersebut.

"Dengan cara ini proses penyediaan pelan tindakan dapat diperluaskan dengan lebih cepat," katanya.

Beliau berkata, peningkatan sinergi antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan KKLW juga membolehkan mahasiswa memberi sumbangan positif dalam membentuk dan merangka pelan komprehensif yang memberi manfaat kepada semua masyarakat di luar bandar.

Beliau memberitahu, pembangunan modal insan terutamanya pendidikan awal kanak-kanak amat penting bagi kemajuan luar bandar.

"Kanak-kanak di luar bandar hendaklah disediakan peluang seluas-luasnya untuk mendapat pendidikan prasekolah kerana pendidikan awal yang berkualiti mampu menjamin kejayaan anak-anak luar bandar apabila mereka beralih kepada pendidikan formal," katanya.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Tiada ulasan: