Ahad, 22 November 2009

28/10/2009: Malaysia dapat pengiktirafan UNESCO

GENTING HIGHLANDS 28 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai antara negara paling berjaya dalam menyediakan akses pendidikan untuk rakyat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran berkata, UNESCO dalam Laporan Pemantau Global Pendidikan Untuk Semua 2009 telah meletakkan Malaysia pada kedudukan 45 dari 129 negara.

“Ia sekali gus menempatkan Malaysia di kalangan 56 negara yang berada pada kedudukan aras tinggi dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua.

“Ini satu kejayaan yang amat membanggakan untuk sistem pendidikan Malaysia,” katanya sewaktu berucap merasmikan Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan 2010-2012 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Sementara itu, Muhyiddin mengingatkan, walaupun negara berada pada kedudukan indeks yang baik, ia tidak bermakna semua warga pendidikan boleh kekal selesa dengan pencapaian itu.

“Dalam usaha melonjakkan kemajuan dan kemakmuran ke tahap lebih tinggi, kita mesti sentiasa berusaha bukan saja meningkatkan akses kepada pendidikan tetapi memperluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Muhyiddin memberi gambaran mengenai langkah-langkah yang sesuai diambil bagi menggalakkan pihak swasta mengambil bahagian dalam penyediaan perkhidmatan prasekolah

Katanya, ia adalah selaras dengan sasaran meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20 peratus pada akhir 2012 di samping sebagai persediaan menghadapi limpahan murid.

Berikut langkah-langkah berkenaan:

*Guru-guru prasekolah swasta boleh mendapatkan latihan di Kementerian Pelajaran;

*Bantuan dana untuk pengusaha prasekolah yang membuka cawangan baru;

*Galakan dari segi insentif, cukai dan rebat.

Menurut Muhyiddin, walaupun prasekolah diuruskan oleh pihak swasta, mereka tertakluk kepada kurikulum disediakan kementerian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, bagi membolehkan lebih ramai murid mengikuti prasekolah, kerajaan akan mewujudkan prasekolah berpusat di kawasan pedalaman.

Katanya, untuk tujuan lojistik, prasekolah berkenaan akan menyediakan kemudahan pengangkutan atau dilengkapi asrama yang diawasi warden.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Tiada ulasan: