Rabu, 23 Disember 2009

Kursus Pemantapan P&P Guru Prasekolah Daerah Hulu Selangor

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Ahad, 22 November 2009

19/11/2009: Jumlah murid prasekolah meningkat 20 peratus

NUSAJAYA 19 Nov. - Jabatan Pelajaran negeri menyasarkan penyertaan pendidikan murid prasekolah meningkat sebanyak 20 peratus menjelang 2012 dengan sasaran pertambahan sebanyak empat peratus pada tahun 2010.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sasaran berkenaan boleh dicapai berikutan pertambahan jumlah sekolah yang menawarkan kelas prasekolah daripada 627 ke 637 buah sekolah pada tempoh itu.

"Kerajaan negeri sentiasa prihatin dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dengan meliputi peringkat prasekolah hingga ke pengajian tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembentangan bajet negeri Johor 2010 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, terdapat 175 buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan di seluruh negeri yang menekankan kepada penyertaan pelajar daripada pelbagai kaum.

Jumlah itu, katanya, dijangka akan bertambah kepada 177 pada tahun 2010 bagi menampung keperluan masyarakat.

Katanya lagi, Tabika Kemajuan Masyarakat (Kemas) pula menyediakan 772 buah yang menempatkan 19,159 orang murid dan akan ditambah kepada 785 buah pada tahun 2010.

Menurutnya, Jabatan Pelajaran juga menyasarkan semua tenaga pengajar prasekolah akan mendapat penarafan lima bintang (PLB) menerusi program pengukuhan tenaga pengajar prasekolah menjelang 2012.

"Program ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 16,852 pelajar di 627 buah sekolah seluruh negeri," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani menambah, kerajaan negeri mencadangkan supaya elaun guru agama Johor dinaikkan daripada RM500 sebulan kepada RM800 sebulan.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan mengkaji cadangan untuk menggredkan jawatan guru-guru Tadika Agama Johor itu.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

04/11/2009: Empat sub NKRA pendidikan tumpuan RMK-10

SUBANG JAYA 3 Nov. - Perancangan pendidikan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) ditumpukan kepada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan bagi pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat sub NKRA itu ialah memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan guru besar berprestasi cemerlang.

Katanya, amat tepat jika peruntukan diperoleh kelak dilaburkan bagi keempat-empat sub NKRA itu kerana ia akan memberi kesan besar kepada pencapaian pembelajaran.

"Objektif pelaburan ini ialah memastikan murid mendapat pembelajaran optimum mengikut kemampuan mereka.

"Ia juga memberi sumbangan berguna kepada masyarakat dan negara hasil persekolahan dan pendidikan yang mereka peroleh," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pembangunan Pendidikan RMK-10 di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkarnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Mohd. Alimuddin Mohd. Dom.

Muhyiddin menambah, pihaknya akan menyediakan pelan perancangan pendidikan bagi RMK-10 bermula pada 2011, yang dirangka bagi membangunkan model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti serta nilai tambah tinggi seperti yang dinyatakan Perdana Menteri.

Katanya, bagi menjayakan misi membangunkan model ekonomi baru itu, aspek pembangunan modal insan dijadikan teras utama perancangan pembangunan pendidikan sepanjang RMK-10.

"Pembangunan modal insan dilaksanakan melalui pendekatan holistik merangkumi segala usaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

"Ini termasuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi, menggilap keupayaan keusahawanan serta memupuk sikap, nilai dan etika positif," jelasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, RMK-9 yang berakhir tahun depan menyaksikan pelbagai kemajuan yang dicapai kementerian bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Katanya, setakat ini 98 peratus projek pembangunan pendidikan dilaksanakan dengan 47 peratus daripadanya siap manakala selebihnya dalam proses akhir pelaksanaan.

"Bagi RMK-10, fokus kerajaan menjurus kepada perancangan berasaskan keputusan memastikan peruntukan sumber efisien dan pelaksanaan program pendidikan yang efektif," ujarnya.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

03/11/2009: Perancangan pendidikan RMK-10 tumpu empat sub-NKRA

PETALING JAYA 3 Nov. — Perancangan pendidikan bagi tahun depan dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan ditumpukan kepada pelaksanaan empat sub-Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, empat sub-NKRA pendidikan ialah memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan mengiktiraf pengetua dan guru besar yang menunjukkan prestasi cemerlang.

"Pada hemat saya, adalah tepat sekali sekiranya kementerian melaburkan peruntukan yang diperolehinya bagi keempat-empat sub-NKRA ini kerana ianya akan memberi impak yang besar kepada pencapaian pembelajaran,” katanya ketika merasmikan Seminar Pembangunan Pendidikan RMK-10 di sini hari ini. - Bernama

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

03/11/2009: Memperkasa modal insan pendidikan

BAJET 2010 menunjukkan keikhlasan kerajaan meletakkan rakyat sebagai keutamaan. Bajet yang menumpukan kepada tiga strategi iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat cukup untuk membuktikan komitmen kerajaan.

Strategi meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi dan meluaskan akses kepada pendidikan melibatkan peruntukan lebih RM30 billion menerusi bajet itu.

Namun peruntukan hanya tinggal sebagai peruntukan jika apa yang kita panggil 'kecekapan' belanjawan tidak diuruskan dengan baik.

Modal insan merupakan aspek penting kerana jika kita ada sistem terbaik di dunia sekalipun tetapi jika pengurusan tidak cekap, ia tidak akan mampu diuruskan dengan baik.

Kerajaan begitu prihatin terhadap perkembangan awal kanak-kanak. Cadangan pemantapan pendidikan prasekolah dengan menjadikannya sebagai sebahagian arus perdana telah meletakkan sasaran pendidikan untuk kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun kepada 87 peratus berbanding 67 peratus.

Kewujudan tadika termasuk swasta ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Maka penyeliaan dan perkembangannya perlu diselaraskan demi untuk merealisasikan hasrat melahirkan modal insan berkualiti seawal peringkat prasekolah.

.Kurikulum untuk prasekolah ataupun tadika perlu diselaraskan untuk semua tadika di Malaysia termasuk tadika swasta supaya perkembangan minda dan kreativiti peringkat kanak-kanak adalah seimbang

Kita khuatir jika tidak dipantau kanak-kanak akan 'disuntik' dengan 'ketaksuban' pencapaian akademik yang tidak sesuai dengan peringkat usia mereka. Kanak-kanak tidak harus dibebani dengan tekanan untuk pencapaian akademik pada usia sebegitu.

Model tadika perpaduan merupakan model yang menepati slogan 1Malaysia yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum. Bagi memperkasakan pendidikan prasekolah ini, kurikulum dan garis panduan yang akan dibuat perlu diikuti oleh semua tadika termasuk tadika swasta supaya agenda kerajaan untuk memastikan tidak ada seorang rakyat pun yang tercicir daripada agenda pembangunan negara.

Langkah kerajaan melahirkan program Permata dan untuk menyediakan garis panduan dan menyelaraskan kurikulum, latihan dan kelayakan tenaga pendidik di semua taman asuhan kanak-kanak adalah tepat untuk memastikan perkembangan pendidikan awal diselaraskan.

Sementara itu di peringkat sekolah rendah, menjadi trend ibu bapa menekankan aspek pencapaian akademik. Anak-anak dibebankan dengan pelbagai tuisyen.

Apa yang dibimbangkan sistem yang berorientasikan peperiksaan yang menuntut ibu bapa dan guru-guru untuk menumpukan kepada latih tubi bagi memastikan kejayaan dalam setiap peperiksaan akan mengakibatkan perkembangan anak-anak membesar dalam keadaan tekanan peperiksaan.

Bagi memperkasakan sistem pendidikan di peringkat ini, kita perlu mengenal pasti kecenderungan minat pelajar tidak hanya berlandaskan akademik. Guru-guru kelas perlu membuat "laporan" minat pelajar berdasarkan komunikasi dengan pelajar, ujian dan pemerhatian. Kad laporan tersebut boleh dijadikan asas pembentukkan modal insan setelah mengenal pasti kecenderungan pelajar.

Maklumat tersebut boleh diselaraskan dengan mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan Mykad.

Di peringkat menengah, cadangan kerajaan untuk memperkenalkan sekolah berprestasi tinggi (SBT) dengan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta dan program pengiktirafan pengetua serta guru besar merupakan langkah terbaik memperkasa sistem pendidikan.

Sistem pencapaian yang berdasarkan prestasi sememangnya dapat menggalakkan pentadbir untuk bekerja mengikut KPI yang ditetapkan. Jika kita perhatikan di peringkat menengah juga, pelajar-pelajar terpaksa berdepan dengan dua peperiksaan besar iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jika peperiksaan masih dijadikan tumpuan utama pendidikan, pihak sekolah sekali berdepan dengan kerenah pelajar yang bosan dengan rutin pembelajaran.

Bagi memperkasakan sistem pendidikan dan melahirkan modal insan cemerlang, kecenderungan minat sekali lagi perlu dikenal pasti. Kementerian Pelajaran perlu menyediakan ruang untuk pelajar-pelajar yang hilang minat untuk belajar ini dengan kemahiran yang seiring minat mereka.

Ramai yang menganggap institusi pengajian tinggi merupakan tempat yang hanya mengubah suai dan mencantikkan produk yang telah dibentuk di peringkat rendah dan menengah atau finished product.

Bagaimanapun pengajian tinggi masih merupakan peringkat terpenting kerana institusi pengajian tinggi ini adalah pentas terakhir untuk melahirkan produk berkualiti.

Ganjaran iaitu menukar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama mampu merangsang usaha melahirkan modal insan berkualiti. Begitu juga dengan ganjaran kepada 30 pelajar terbaik untuk menerima Biasiswa Nasional di universiti tersohor, pakej netbook termasuk perkhidmatan jalur lebar dengan bayaran RM50 sebulan untuk dua tahun dan diskaun 50 peratus perkhidmatan kereta api jarak jauh.

Penumpuan yang diberikan untuk Institut Kemahiran Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara pastinya mempercepatkan penghasilan modal insan berkemahiran dan berkualiti tinggi.

Pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 4 dan ke atas setaraf dengan aliran akademik membuktikan kesungguhan kerajaan untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Sementara itu, hasrat untuk memberi autonomi kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) juga diharap membuka lembaran baru di kalangan warga kampus untuk menjana pendapatan sendiri, meningkatkan ranking universiti dan secara tidak langsung akan membantu melahirkan modal insan yang berdaya saing.

Apabila berbincang tentang IPT kita tidak boleh lari daripada memperkatakan tentang penyelidikan. Penyelidikan dan penghasilan artikel dalam jurnal-jurnal yang mempunyai indeks yang tinggi merupakan salah satu petunjuk penting dalam pencapaian sesebuah universiti.

Peruntukan perlu ditingkatkan untuk menggalakkan pensyarah-pensyarah menjalankan penyelidikan. Mungkin sudah sampai masanya sistem penilaian berasaskan peperiksaan akhir dikaji terutamanya kepada pelajar-pelajar pra siswazah (undergraduates).

Kebanyakan IPTA masih lagi memberi penekanan kepada peperiksaan akhir. Sekali lagi kita masih berpegang kepada orientasi peperiksaan. Tidak nafikan salah pengukuran untuk pihak industri membuat asas penilaian adalah berdasarkan keputusan peperiksaan (CGPA). Namun untuk mencapai hasrat ini, sistem penggredan penilaian peperiksaan akhir mungkin boleh dikurangkan dengan lebih memberi penekanan kepada perkembangan kreativiti, percambahan daya pemikiran di luar kotak, pemikiran secara analitikal, kritis, penumpuan kepada peningkatan soft skill dan kemahiran generik.

Selain itu, komitmen kerajaan untuk meningkatkan kadar literasi dan numerasi adalah kena pada masanya. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan 2008, kadar literasi pada kelompok umur 15 tahun ke atas adalah 93.2 peratus.

Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 pula menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia masih berada di belakang negara maju yang mempunyai kadar literasi pada tahap 99 peratus.

Kebanyakan rakyat Malaysia dikatakan hanya membaca bahan terpilih sahaja. Bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia untuk melahirkan modal insan berkualiti, kementerian berkaitan khususnya Kementerian Pelajaran perlu menyelaras program holistik ke arah pengembangan budaya membaca.

Namun begitu, bebanan ini tidak harus diletakkan di bahu Kementerian Pelajaran sahaja. Semua pihak termasuk ibu bapa, badan bukan kerajaan, penerbit, penulis dan lain-lain perlu berganding bahu. Karya-karya yang berupaya menarik minat membaca diperlukan untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Secara keseluruhannya, Bajet 2010 bertemakan 1Malaysia memang menepati slogan rakyat didahulukan. Penekanan kerajaan kepada aspek pendidikan membuktikan bahawa penguasaan ilmu itu adalah penting dalam melahirkan modal insan berkualiti.

Realiti hari ini kita tidak dikenali sebagai the creator sebaliknya lebih kepada end user dan follower kepada bangsa lain. Justeru itu, penting untuk kita semua bangkit untuk menguasai ilmu demi melahirkan modal insan demi masa depan.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan,

Fakulti Pengurusan Perniagaan,

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

02/11/2009: Murid prasekolah naik 87% pada 2012

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan menyasarkan peningkatan 87 peratus pendaftaran kanak-kanak prasekolah kepada 447,556 murid pada 2012 berbanding 342,706 murid pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah meningkatkan jumlah kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah itu merupakan usaha menjadikan sistem pendidikan negara terus relevan.

Menurutnya, pada masa sama, ia bagi mencapai matlamat menjadikan prasekolah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran.

“Pertambahan 104,850 murid itu adalah penyertaan kanak-kanak kohort berusia lima tahun yang mengikuti pembelajaran prasekolah kerajaan dan swasta,” katanya menjawab soalan Abd. Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya memantapkan kemahiran berbahasa serta pembentukan sahsiah positif di kalangan kanak-kanak prasekolah mengikut kurikulum yang dikuatkuasakan sejak 2003 sama ada di sekolah kerajaan mahu pun swasta.

Katanya, kurikulum prasekolah sedia ada akan ditambah baik termasuk cadangan memanjangkan 50 peratus tempoh interaksi dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, 4,194 kelas prasekolah baru pula akan dibina menjelang 2012 selain menggalakkan penyertaan pihak swasta melalui cadangan pemberian insentif.

Tambah beliau, kementerian juga memberi latihan kepada guru prasekolah kerajaan dan swasta melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Peningkatan Profesionalisme.

“Penyeliaan serta pemantauan bagi memastikan kualiti pendidikan prasekolah dijalankan dari semasa ke semasa.

“Bukan itu sahaja, pelbagai program kesedaran bagi menggalakkan penyertaan ibu bapa terutama di luar bandar serta yang berpendapatan rendah akan dijalankan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abd. Rahman mengenai masalah murid-murid normal yang keciciran membaca, menulis dan mengira (3M), Muhyiddin berkata, beliau yang menyedari perkara itu.

Menurutnya, masalah tersebut berlaku ekoran perbezaan kawasan pendidikan seperti di dalam dan luar bandar.

Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan mengambil inisiatif menyediakan peruntukan RM48 juta melalui Bajet 2010 bagi memperbaiki kelemahan aspek keperluan, kemudahan dan latihan yang tidak mencukupi itu.

Menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Muhyiddin berkata, program Permata di seluruh negara telah menunjukkan prestasi cemerlang dan kementerian bercadang mengembangkannya.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

02/11/2009 : Guru berijazah mengajar di prasekolah - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 2 Nov . — Guru lulusan ijazah akan diambil bagi menjadi pendidik di peringkat prasekolah di masa depan bagi meningkatkan kualiti pembelajarannya selaras dengan Dasar Pendidikan Negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyediakan guru terlatih ini boleh mengurangkan masalah kurangnya penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dalam kalangan pelajar.

"Kita berpendapat, lagi awal untuk kita mulakan pendidikan anak-anak kita, lagi baik. Maka guru yang kita hendak sediakan mestilah guru yang terlatih, bukan guru yang berkelulusan rendah,” katanya ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Dewan Rakyat hari ini.

Tan meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan mempertingkatkan kualiti pendidikan prasekolah dan bagaimana semua kelas tadika yang dianjur oleh kerajaan dan swasta dapat dipantau kurikulumnya serta perbezaan antara prasekolah dengan Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (Permata).

Muhyiddin berkata pelajar prasekolah lebih mudah menerima ilmu pengetahuan ketika muda, dan dengan sebab itu, kementerian memberikan perhatian kepada peringkat umur ini terutama dalam usaha mempertingkatkan penguasaan 3M, yang merupakan sebahagian daripada bidang keberhasilan utama (NKRA) Kementerian Pelajaran.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

02/11/2009: Bilangan murid pra sekolah meningkat 87 peratus 2012

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Kerajaan mensasarkan kadar penyertaan kanak-kanak dalam prasekolah meningkat kepada 447, 556 murid iaitu kenaikan sebanyak 87 peratus menjelang 2012 berbanding 342,706 murid-murid pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut merupakan usaha kerajaan menjadikan sistem pendidikan negara terus relevan dan mencapai matlamat menjadikan prasekolah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran.

``Kadar pertambahan sebanyak 104, 850 murid-murid itu merupakan bilangan penyertaan kanak-kanak kohort berusia lima tahun yang mengikuti pembelajaran prasekolah kerajaan dan swasta,'' katanya ketika menjawab soalan Abd. Rahman Bakri ( BN-Sabak Bernam) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abd. Rahman dalam soalannya meminta Kementerian Pelajaran menyatakan langkah yang telah diambil untuk menjadikan pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara. - Utusan

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

29/10/2009: Banyakkan prasekolah di kawasan Orang Asli

JELEBU 29 Okt. - Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri disarankan supaya mewujudkan lebih banyak kelas prasekolah di penempatan Orang Asli di sekitar negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat berkata, ia bertujuan memberikan akses pendidikan awal terhadap golongan kanak-kanak masyarakat itu.

''Langkah ini penting kerana kita tidak mahu melihat taraf pendidikan Orang Asli diabaikan serta disisihkan selain jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini.

''Jika mereka tidak mempunyai kemudahan ini, ia akan menyukarkan ibu bapa mereka untuk menghantar anak-anak ke tadika di luar dari kawasan penempatan kerana kebanyakan keluarga ini tinggal di kawasan pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penulisan Rencana dan Artikel di Perpustakaan Awam Daerah Jelebu di sini hari ini.

Kata beliau, beberapa perkampungan Orang Asli di sekitar negeri ini telah dikenalpasti untuk dijadikan kawasan cadangan pelaksanaannya.

''Berdasarkan pemerhatian, terdapat tiga buah kampung Orang Asli di daerah ini yang masih tidak mempunyai kemudahan tersebut dan ini telah saya maklumkan kepada JHEOA dan Kemas untuk diberi perhatian," kata beliau

Tambah beliau, sekiranya kemudahan tadika ini tidak disediakan, dikhuatiri kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun di penempatan Orang Asli sukar menyesuaikan diri apabila melangkah ke alam sekolah rendah kelak.

''Jika tidak ada pendedahan awal terhadap pendidikan asas, kita takut apabila masuk darjah 1 nanti A,B,C, pun baru hendak belajar, Ini sekali gus membuatkan mereka ketinggalan berbanding pelajar lain.

''Oleh itu, usaha ini amat penting dalam mempersiapkan mereka selain mendedahkan kanak-kanak ini dengan pendidikan asas seterusnya menerapkan minat untuk mendapatkan pendidikan,'' jelasnya.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

29/10/2009: Lima alternatif baru majukan desa

KOTA TINGGI 29 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan lima alternatif baru bagi membantu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk mempercepatkan proses pembangunan desa serta pembentukan pelan tindakan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, KKLW perlu menggubal satu Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar Nasional yang menyediakan hala tuju, strategi serta dasar pembangunan luar bandar secara komprehensif termasuk bagi Sabah dan Sarawak.

"Pelan induk itu hendaklah mengambil kira pelan tindakan daerah dan desa meliputi semua jabatan dan agensi kerajaan," katanya dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, langkah kedua yang perlu diberi perhatian adalah penstrukturan semula sistem perancangan desa di daerah iaitu Pejabat Daerah perlu mengambil kira Pelan Tindakan Desa yang dihasilkan oleh penduduk kampung.

Beliau berkata, pengiktirafan Pejabat Daerah penting untuk memastikan kejayaan program yang dirangka penduduk untuk memajukan kampung mereka.

Selain itu, katanya, pembentukan Kumpulan Pembimbing Pelan Tindakan Desa daripada kalangan masyarakat kampung juga merupakan aspek penting untuk mempercepatkan proses pembangunan di setiap desa.

"Kaedah ini melibatkan individu di kampung seperti guru sekolah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan, pesara kerajaan, ahli perniagaan dan individu lain yang berpotensi menjadi pembimbing dalam pelan tersebut.

"Dengan cara ini proses penyediaan pelan tindakan dapat diperluaskan dengan lebih cepat," katanya.

Beliau berkata, peningkatan sinergi antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan KKLW juga membolehkan mahasiswa memberi sumbangan positif dalam membentuk dan merangka pelan komprehensif yang memberi manfaat kepada semua masyarakat di luar bandar.

Beliau memberitahu, pembangunan modal insan terutamanya pendidikan awal kanak-kanak amat penting bagi kemajuan luar bandar.

"Kanak-kanak di luar bandar hendaklah disediakan peluang seluas-luasnya untuk mendapat pendidikan prasekolah kerana pendidikan awal yang berkualiti mampu menjamin kejayaan anak-anak luar bandar apabila mereka beralih kepada pendidikan formal," katanya.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

28/10/2009: Malaysia dapat pengiktirafan UNESCO

GENTING HIGHLANDS 28 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai antara negara paling berjaya dalam menyediakan akses pendidikan untuk rakyat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran berkata, UNESCO dalam Laporan Pemantau Global Pendidikan Untuk Semua 2009 telah meletakkan Malaysia pada kedudukan 45 dari 129 negara.

“Ia sekali gus menempatkan Malaysia di kalangan 56 negara yang berada pada kedudukan aras tinggi dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua.

“Ini satu kejayaan yang amat membanggakan untuk sistem pendidikan Malaysia,” katanya sewaktu berucap merasmikan Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan 2010-2012 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Sementara itu, Muhyiddin mengingatkan, walaupun negara berada pada kedudukan indeks yang baik, ia tidak bermakna semua warga pendidikan boleh kekal selesa dengan pencapaian itu.

“Dalam usaha melonjakkan kemajuan dan kemakmuran ke tahap lebih tinggi, kita mesti sentiasa berusaha bukan saja meningkatkan akses kepada pendidikan tetapi memperluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Muhyiddin memberi gambaran mengenai langkah-langkah yang sesuai diambil bagi menggalakkan pihak swasta mengambil bahagian dalam penyediaan perkhidmatan prasekolah

Katanya, ia adalah selaras dengan sasaran meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20 peratus pada akhir 2012 di samping sebagai persediaan menghadapi limpahan murid.

Berikut langkah-langkah berkenaan:

*Guru-guru prasekolah swasta boleh mendapatkan latihan di Kementerian Pelajaran;

*Bantuan dana untuk pengusaha prasekolah yang membuka cawangan baru;

*Galakan dari segi insentif, cukai dan rebat.

Menurut Muhyiddin, walaupun prasekolah diuruskan oleh pihak swasta, mereka tertakluk kepada kurikulum disediakan kementerian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, bagi membolehkan lebih ramai murid mengikuti prasekolah, kerajaan akan mewujudkan prasekolah berpusat di kawasan pedalaman.

Katanya, untuk tujuan lojistik, prasekolah berkenaan akan menyediakan kemudahan pengangkutan atau dilengkapi asrama yang diawasi warden.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

25/10/2009: NKRA jadi paradigma baru

KERAJAAN telah melancarkan paradigma baru prestasi dan pencapaian hasil melalui pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).

Ia merupakan satu inisiatif utama untuk melakukan transformasi Malaysia ke arah penyampaian perkhidmatan bertaraf dunia.

NKRA akan memberi fokus kepada penyampaian perkhidmatan awam berasaskan hasil selaras dengan kehendak rakyat.

Penyampaian NKRA adalah berdasarkan kepada empat prinsip utama iaitu:

1. Rakyat didahulukan - memberi tumpuan kepada kehendak kepentingan rakyat.

2. Kerjasama antara sektor awam dan swasta - membangunkan keupayaan bagi pelaksanaan NKRA secara tetap dan berkesan.

3. Penggunaan sumber secara berhemat - memaksimumkan produktiviti melalui penggunaan sumber secara berkesan.

4. Tahap penghasilan yang tertinggi - menanda aras berdasarkan piawaian antarabangsa.

Bagi mencapai NKRA tersebut, antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan termasuk:-

Jenayah

l Meningkatkan kehadiran polis di tempat awam

l Memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mencerahkan kawasan yang kerap berlaku jenayah.

Rasuah

l Pengisytiharan harta

l Dasar 'Whistleblower'.

Pendidikan

l Prasekolah diwajibkan

Isi Rumah Berpendapatan Rendah

l Jaminan infrastruktur asas

Pengangkutan Awam di Bandar

l Landasan kereta api baru

l Penyeragaman tambang dan tiket tanpa tunai

Di samping NKRA, setiap kementerian telah ditugaskan untuk mengenal pasti dan melaksanakan KRA Kementerian (MKRA). MKRA tersebut adalah sejajar dengan NKRA serta merupakan tanggungjawab utama kementerian berkenaan.

Sejumlah 110 MKRA telah dikenal pasti di semua 24 kementerian, yang mana 49 peratus berteraskan rakyat, 28 peratus ekonomi, 22 peratus fokus terhadap masa depan dan satu peratus lain-lain.

Unit Penyampaian Pengurusan Prestasi (PEMANDU) yang dibentuk di bawah Menteri Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi untuk memacu, mengurus dan memastikan kejayaan pencapaian NKRA.

Unit itu menyediakan garis panduan dan memantau pematuhan dan pencapaian MKRA dan struktur PEMANDU adalah berdasarkan kepada 'Hybrid Resourcing Model', merangkumi tenaga kerja terbaik daripada sektor awam dan swasta.

Satu Goverment Transformation Programme (GTP) Lab bagi setiap NKRA telah dilancarkan dan lab tersebut akan menganalisis NKRA dengan lebih terperinci bagi membangunkan rangka kerja pelaksanaan.

NKRA akan menyegerakan momentum bagi transformasi Malaysia daripada sebuah negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi ke arah pencapaian matlamat sebagai negara maju menjelang 2020.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

24/10/2009 : Insentif swasta tubuh banyak tadika

MUAR 24 Okt. - Kerajaan akan memberikan pelbagai galakan dan insentif kepada pihak swasta dalam usaha menggalakkan mereka membuka lebih banyak kelas-kelas prasekolah di bandar dan luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ia termasuk melalui pengurangan cukai, kemudahan latihan tenaga pengajar dan tabung pinjaman untuk para pengusaha tadika.

Katanya, ia bagi membolehkan lebih ramai ibu bapa menikmati kemudahan pendidikan prasekolah buat anak-anak mereka, sekali gus meningkatkan capaian kepada pendidikan berkualiti.

"Kita galak lebih banyak pihak swasta sama ada syarikat atau individu yang mahu membuka kelas tadika dan prasekolah bukan sahaja di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar serta pedalaman.

"Kita akan umumkan nanti apabila perbincangan telah diadakan dengan Perdana Menteri tentang apa bentuk galakan dan insentif yang boleh kita bagi kepada pengusaha yang membuka kelas prasekolah dan tadika ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Pagoh di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, perangkaan terkini menunjukkan sebanyak 37 peratus daripada kanak-kanak di negara ini tidak berpeluang untuk mengikuti pendidikan prasekolah berikutan kekangan ketiadaan pusat pembelajaran yang mencukupi.

Muhyiddin berkata, empat pihak yang kini terlibat dalam menggerakkan sistem prasekolah di negara ini adalah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Perpaduan dan Kementerian Pelajaran selain pihak swasta.

"Saya tidak fikir kita (kerajaan) akan sediakan semua (kemudahan prasekolah), asalkan mengikut kurikulum yang disediakan kerajaan, kita akan memberi lesen dan galakan kepada pihak swasta yang berminat," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga tiada masalah dengan tadika yang disediakan sekolah antarabangsa selagi ia mengikut standard yang ditetapkan dan pihak berkenaan juga bebas menambah matapelajaran yang dapat memberi nilai tambah dalam sistem pembelajaran berkenaan.

Dalam pada itu, menurut Muhyiddin, sebanyak 20 buah sekolah di negara ini akan dikategorikan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) mengikut pelbagai kriteria ditetapkan termasuk sejarah sekolah, tahap kepimpinan guru serta keputusan peperiksaan.

Katanya, pengumuman mengenai sekolah terbabit akan dibuat pada waktu terdekat namun, beliau menegaskan sekolah itu bukannya sekolah elit semata-mata.

Sebaliknya jelas beliau pelajar miskin yang cemerlang dan daripada pelbagai latar belakang juga berpeluang untuk memasuki sekolah itu.

Menurut Muhyiddin, tumpuan yang diberikan terhadap sistem prasekolah dan SBT itu merupakan dua daripada empat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan dalam Bajet 2010 yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

"Itu perkara pokok yang disebut dalam belanjawan dan kita akan gunakan sebahagian peruntukan untuk memajukan empat perkara itu dalam tempoh waktu yang ditetapkan dalam KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) kita," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa mementingkan usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan cemerlang selain menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang terbaik dalam sistem pendidikan negara.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

23/10/2009 : Inisiatif berani PM – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Bajet 2010 merupakan inisiatif berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan semua kelompok masyarakat mendapat faedah daripadanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar tanpa mengetepikan sasaran pertumbuhan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin justeru yakin bajet yang bertemakan 1Malaysia, Kemakmuran Bersama itu bukan sahaja bakal mengurangkan beban hidup rakyat bahkan mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tiga peratus sekali gus mengurangkan defisit negara.

Baginya, sasaran kerajaan untuk menurunkan kadar defisit pada tahun 2010 pada paras 5.6 peratus daripada 7.4 peratus tahun adalah realistik.

“Dalam situasi ekonomi yang agak mencabar, Perdana Menteri masih mampu memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pertumbuhan daripada negatif tiga peratus kepada tiga peratus iaitu peningkatan kira-kira enam hingga tujuh peratus dalam masa setahun.

“Bagi saya ini adalah tindakan berani dan kita yakin semua rakyat akan dapat faedah daripada bajet ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Bagi Muhyiddin, bajet tersebut meliputi semua kumpulan masyarakat iaitu daripada kalangan petani, pekebun kecil, nelayan, pesara, kakitangan kerajaan dan pelajar.

“Saya yakin ia akan menyentuh hati nurani rakyat sama ada yang miskin atau yang kaya kerana kesemua mereka akan mendapat faedah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, antara mesej penting Bajet 2010 adalah usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan bagi membolehkan peluang-peluang pekerjaan diwujudkan.

‘‘Melalui langkah ini ia akan memberi banyak ruang kepada kerajaan untuk memulihkan segera ekonomi negara kerana umum mengetahui ketika ini pertumbuhan ekonomi kita berada pada tahap negatif tiga peratus.

‘‘Saya yakin dengan keberanian Perdana Menteri dalam memperkenalkan pelbagai inisiatif di dalam bajet kali ini, pertumbuhan ekonomi kita pada tahun depan boleh mencecah positif tiga peratus,” katanya lagi.

Selain itu beliau berkata, pelaburan infrastruktur termasuk di luar bandar juga antara langkah untuk memastikan ekonomi terus berkembang.

‘‘Satu lagi mesej yang perlu diberikan tumpuan melalui bajet ini adalah langkah kerajaan untuk membentuk model ekonomi baru yang berasaskan kepada inovasi dan kreativiti. Ini adalah usaha kita untuk merealisasikan hasrat melahirkan lebih ramai rakyat berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana terus memberi tumpuan kepada bidang pendidikan di dalam bajet kali ini.

Beliau berkata, terdapat empat bidang telah dinyatakan secara khusus iaitu memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar celik huruf dan angka, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan mengiktiraf pengetua dan guru besar sekolah.

‘‘Keempat-empat bidang ini akan menjadi Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama kementerian bagi memastikan ia menjadi dasar sistem pendidikan negara,” tambahnya.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

24/10/2009 : Insentif galak swasta buka kelas prasekolah

MUAR 24 Okt. — Kerajaan akan memberikan insentif kepada pihak swasta dalam usaha menggalakkan mereka membuka lebih banyak kelas-kelas pra sekolah di bandar dan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan kelas-kelas ini akan membolehkan lebih ramai ibu bapa menikmati kemudahan pendidikan pra sekolah buat anak-anak mereka, sekaligus meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti.

"Kerajaan akan umumkan selepas perbincangan dengan Perdana Menteri, bentuk insentif itu, seperti menyediakan tabung pinjaman kepada pihak swasta yang mahu membuka sekolah berkenaan, dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran dan Anggota Parlimen Pagoh berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Karnival Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Pagoh di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga tidak mempunyai masalah untuk memberikan lesen kepada para pengusaha terbabit bagi menjayakan rancangan membuka lebih banyak kelas-kelas prasekolah. - Bernama

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Rabu, 11 November 2009

Saya suka main buih sabun

Antara aktiviti bermain air yang sangat menarik minat murid ialah bermain buih sabun. Masa ini tema apa ye? Mungkin semasa tema alam sekitar boleh digunakan.

Caranya memang mudah. Pertama, pastikan murid memakai pakaian yang bersesuaian. Kalau pakai uniform nanti, basah pula.

Set induksi boleh dimulakan dengan nyanyian lagu Buih Sabun. Untuk aktiviti, sediakan besen, air, shower creme atau hand wash pon bleh (jangan guna sabun basuh..bahaya kepada kulit murid) dan straw.

Sebelum mula aktiviti jangan lupa ingatkan murid tentang langkah keselamatan semasa bermain. Supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini nanti.

Gambar, tak jumpa pula. mungkin dalam portable hard disc saya. Nanti saya upload gambar ye.

haha...ni gambarnya...

Semasa set induksi, murid menyanyikan lagu 'Buih Sabun'

Murid bekerjasama menadah dan mengangkat air mengikut kumpulan.

Murid pada mulanya dikehendaki meniup ke dalam air tanpa sabun.


Buih mula terhasil setelah sabun diisi ke dalam air.



Antara murid yang dapat menghasilkan buih besar.


Inilah akhirnya....
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Ahad, 8 November 2009

Menghasilkan Muzik

Murid-murid prasekolah sememangnya sangat berminat dengan aktiviti yang melibatkan mereka. Selain membuat model, murid berminat dalam membuat eksperimen.

Antara eksperimen yang telah dilakukan ialah membuat muzik atau lagu daripada air. Caranya memang mudah..cuma masukkan air dengan isipadu yang berbeza ke dalam gelas yang mempunyai bentuk dan saiz yang sama.

Murid akan mengetuk tepi gelas menggunakan sudu dan cuba mendengar bunyi yang dihasilkan...memang mudah kan?


Gelas yang sama tetapi mengandungi isipadu air yang berbeza. Kalau nak lebih cantik, gunakan gelas kosong, tanpa corak.


Murid sedang cuba mengetuk tepi gelas untuk mendengar bunyi yang dihasilkan.

Murid dikehendaki mengukur paras air menggunakan helaian kertas dan menampalnya di dalam buku. Akhirnya, murid membuat kesimpulan dari eksperimen.
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Mesin dan jentera

16 Oktober 2009...tema mesin dan jentera..murid menghasilkan model mesin-mesin yang biasa digunakan di rumah...






ketuhar


mesin basuh


peti sejuk


pembakar roti
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Jamuan Hari Raya

9 Oktober 2009..jamuan hari raya dan majlis harijadi murid yang lahir bulan sept dan okt. Semua guru sekolah dijemput hadir ke jamuan tersebut.

Makanan memang banyak...murid bawa makanan dari rumah...'POT LUCK' ...ppm pun memasak rendang dan nasi himpit di sekolah..saya pula masak bihun sup di rumah siap dengan begedil...cikgu fadhilah pula sediakan nasi dengan gulai ayam...semuanya memang menyelerakan.

Murid pula, nampaknya begitu seronok dengan sambutan tersebut...dengan berbaju raya...semuanya cantik-cantik dan segak belaka...silalah tengok gambar-gambar ni





Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Kursus asas tari 1 dan 2

Pada bulan Julai 2009 lepas, Kursus Asas Tari telah diadakan buat menambah ilmu guru-guru prasekolah Hulu Selangor.

3 jenis tarian asli telah dipelajari semasa kedua-dua kursus tersebut iaitu inang, zapin dan joget. namun, rasanya 2 sesi kursus tersebut tidak mencukupi buat kami. sekarang baru bulan 11, tapi dah lupa semua step yang dipelajari.ish ish ish..

Apapun, kalau masih ada kursus asas tari, saya masih berminat untuk mengikutinya. Gambar takde pula upload...
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Sabtu, 24 Oktober 2009

P&P guru pelatih UNI

Akhirnya, 2 bulan berakhir untuk mereka mendapat latihan di sekolah saya. Kesimpulan daripada 2 bulan ini, pelatih UNI ni memang perlu dibimbing sepanjang mereka berada di sini. Terlalu tidak banyak peningkatan. Harap semua pun faham.

Kebanyakan idea P&P semuanya daripada saya. Saya pun tidak tahu mengapa kurang atau tiada langsung idea yang kreatif atau menarik dari mereka. Sama ada mereka masih terlalu baru atau kurang dan tiada langsung usaha dari mereka untuk mencari idea.

Selain masalah idea, P&P berpusatkan murid. Saban hari saya mengingatkan mereka tentang perkara ini. Tetapi seakan akan tidak dipeduli. Saya ingin membantu mereka, tapi mereka juga perlu membantu diri mereka. Murid prasekolah, dahagakan aktiviti. Tetapi, bila hanya guru yang menyuap...kelas hilang kawalan. Itulah yang berlaku.

Masalah sikap. Memang sangat ketara. Sering tidak hadir ke sekolah. Sangat sangat membuatkan saya marah. Rancangan mengajar tidak disiapkan. Jika nak dihuraikan...terlalu bermasalah. Sikap profesionalisme serta pengorbanan juga bagai tiada dalam diri mereka.

Apapun, saya cuba membantu. Jika mereka berminat, cubalah bantu diri sendiri.

Berikut...beberapa P&P yang mereka jalankan...masih idea saya





Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

kembali menulis

Rasanya, lebih sebulan saya tidak lagi menulis dlm blog ni. Entahlah kenapa...tapi semangat untuk menulis tu hilang sekejap. Tak tahulah ada yang ternanti2 penulisan saya ni ataupun tidak.

Untuk permulaan semula ni, saya akan ceritakan sedikit mengenai beberapa aktiviti yang telah di jalankan di pra.

Nantikan...
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Jumaat, 11 September 2009

Cuti Cuti Cuti

Selepas bercuti seminggu, bersambung pula dengan cuti sempena Hari Kemerdekaan. Bercakap tentang kemerdekaan, rasanya tahun ni tak semeriah mana sambutannya. Di prasekolah sendiri pun, tak nampak kemeriahannya. Tahun lepas, kami menyumbat celah-celah pagar dengan surat khabar lama yang diwarna murid-murid membentuk perkataan SELAMAT HARI MERDEKA. Kemudian, kami menggantung benndera-bendera kecil dan besar di sekeliling prasekolah. Murid juga membuat bendera tangan sendiri.

Tahun ini, tiada sebarang sudut kemerdekaan. Tambahan lagi, kebanyakan slot diambil alih oleh guru pelatih. Jika tahun lepas, banyak bahan yang dibuat bersama murid. tetapi, tahun ini tidak lagi. Kebanyakan aktiviti yang mereka jalankan tidak menghasilkan sebarang bahan. terlalu banyak nasihat dan idea saya taburkan...tapi entahlah. Jadi, tahun ini, saya cuma sempat membuat songkok bendera. Tapi, lupa pula nak ambil gambar. Nanti, bila dah ambil gambar, saya uploadkan di sini.

Eh, melalut pula yek. Selepas bercuti seminggu, sempat 4 hari bersekolah dalam bulan puasa ni, sekolah kembali bercuti. Sehari sempena nuzul al quran dan 3 hari kemudian cuti rehat sempena UPSR. Maka, berlambak-lambakla kerja yang dibekalkan kepada murid-murid. Yelah, ada sesetengah murid yang kalau tak dibekalkan kerja, tak buka buku lah jawabnya. HEhe..

Akhirnya, kembali ke sekolah. Seronok tengok murid-murid. Rindu pun ada. tapi, sehari saja bersekolah, bercuti lagi mereka. Ada yang seronok tapi ada jugak yang macam kecewa. baru 1 hari bersekolah, cuti lagi. Ada yang mengangkat tangan untuk bersekolah lagi pada hari esok. Tersenyum saya melihatnya. Masa prasekolah ni, kebanyakan budak-budak memang masih berminat untuk bersekolah. Dah naik darjah nanti, macam-macamlah. Sabar je lah.

Ok lah, sampai sini aje hari ini. Nanti nak uploadkan tentang apa yang saya buat sepanjang murid bercuti rehat pula. Ok, bye2
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Jumaat, 21 Ogos 2009

Selamat Menyambut Ramadhan dan Selamat Bercuti

Hari ini hari terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan penggal 2. Maka, esok bermulalah cuti sekolah selama lebih kurang seminggu juga bermulalah hari pertama kita semua berpuasa.

Hari terakhir sebelum cuti yang agak panjang, selaku guru yang prihatin, saya membekalkan lembaran kerja untuk anak2 didik di prasekolah saya. 7 helai semuanya. cukuplah untuk cuti seminggu. supaya mereka tidak leka semasa cuti. tapi, ramai betul yang tak hadir ke sekolah hari ini. 6 orang. terpaksalah saya kirimkan saja kepada rakan-rakan yang tinggal berdekatan dengan mereka. Harap2, yang tak hadir hari ni, dapatlah homework tu ye.Rajin2 la mengulangkaji semasa cuti.

Berpuasa, cakap pasal puasa, tak tahulah murid-murid saya ni larat tak berpuasa. kita tunggu dan lihat sajalah nanti. tapi, memang kami tak sediakan makan dan minum. Supaya mereka secara tidak langsung berlatih berpuasa, biarpun hanya di sekolah.

Apapun....Selamatlah segalanya
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Rabu, 19 Ogos 2009

Guru Pelatih UNISEL

Hmm, bila nak cakap pasal guru pelatih ni..lemah semangat rasanya.kenapa?biarlah saya simpan sendiri.

3 Ogos 2009, kehadiran 3 guru pelatih dari UNISEL untuk menjalani latihan mengajar di Prasekolah SKBSB. Ini merupakan batch kedua yang datang ke sini. Sebelum ini, bulan Mac, ada 2 orang guru pelatih UNISEL turut menjalani latihan mengajar di sini.

Harapan saya, yang datang kali ini biarlah lain daripada yang sebelum ini. Sikap guru pelatih sebelum ini, menyebabkan saya seakan2 serik untuk menerima pelatih lain. Tetapi, memikirkan untuk menolong saudara sendiri (sesama islam) dan menunaikan tanggun gjawab, digagahkan diri juga untuk menerima mereka (atas arahan pentadbir). Lagipun, jika difikirkan secara positif, mungkin produk kali ini lebih berkualiti dari sebelumnya. Setiap keluaran kan berlainan.....

Namun, setakat ini...dirasakan macam harapan tinggal harapan...nak tau kenapa??? TUNGGUUU
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Selasa, 11 Ogos 2009

Pemantauan mengejut

Pada 28 julai yang lalu, sekolah kami telah 'dikunjungi' oelh pegawai prasekolah PPD Hulu Selangor, En Mohd Zaki bin Yusoff. Sebenarnya, dari hari dipantau tu lagi saya nak tulis tentang perkara ni, tapi masa tak mengizinkan.

Akhirnya, pada hari ini, dapatlah saya ceritakan. Masa tu, masa fizikal di luar, tiba2 saya dapat call dari seorang spy mengatakan ada seorang pegawai PPD dah pun sampai di pejabat untuk membuat pemantauan di prasekolah.

Berdebarnya rasa hati masa tu, tuhan aje yang tau. Saya pun meneruskan p&p saya seperti tiada apa yang berlaku. semasa dalam perjalanan ke bilik p&p PJK, saya pun terserenpak dengan pegawai tu, rupa-rupanya En. Zaki. hilanglah sedikit rasa berdebar tadi. Tapi still berdebar dan takut jugaklah.

Tapi, memandangkan masa tak mengizinkan, maka sekejap sahaja En Zaki berada di kelas saya. Tak sempat pun memantau saya mengajar. En Zaki cuma malihat-lihat murid saya membuat latihan di buku tulis sahaja.

Cuma, En Zaki meminta saya untuk menukar butiran peribadi yang dak sedikit berubah dan cuba menukar susun atur kelas. Susun atur kelas tu la yang selalu saya risaukan. Yelah, dengan keluasan kelas yang tak seberapa, tak taula macam mana lagi saya nak susun. InsyaAllah, akan saya usahakan. Doakanla saya mendapat idea2 yang bagus....

Anyway, TQ En Zaki. En Zaki memang pegawai PPD yang sporting dan memahami.
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Isnin, 10 Ogos 2009

07/08/2009 : Pendidikan asas penting elak keciciran

KOTA KINABALU 6 Ogos - Pendidikan asas di peringkat prasekolah wajar diberi perhatian bagi mengurangkan masalah keciciran pembelajaran di kalangan generasi masa depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, penekanan dan perhatian istimewa terhadap pendidikan asas merupakan proses awal ke arah melahirkan generasi muda yang berilmu dan seimbang.

"Untuk itu, salah satu usaha yang harus dilakukan ialah dengan memastikan pelajar di semua peringkat dididik dengan sempurna termasuk memberi perhatian kepada pendidikan asas iaitu peringkat prasekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kembara Minda 1Malaysia bersama angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor anjuran Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta) di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini hari ini.

Mohd. Johari yang mewakili isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung kehormat Pencinta berkata, kekuatan sesebuah negara semakin bergantung kepada keupayaan melahirkan generasi pewaris yang penuh dengan daya intelektual yang seimbang.

Mengenai konsep 1Malaysia, Mohd. Johari berkata, ia penting untuk diterapkan dalam generasi muda bagi membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu.

Sementara itu, Presiden Pencinta, Datuk Izudin Ishak berkata, Pencinta akan memperluaskan Program Kembara Minda 1Malaysia bagi menyokong hasrat kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti.

Selain itu, katanya lagi, Pencinta akan melancarkan beberapa lagi program yang mampu menyokong hasrat kerajaan itu.

Antaranya, ujar beliau, ialah mengadakan program Pemukiman Satu Hati Cinta Negara dan menerbitkan cakera video digital (DVD) Kumpulan Deklamasi Puisi 1Malaysia
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

04/08/2009 : Rosmah cadang festival bahasa untuk prasekolah

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata, Festival Bahasa dan Sastera yang diadakan khusus untuk pelajar bukan Melayu, diperluas sehingga ke peringkat prasekolah pada tahun depan.

Beliau berkata, menguasai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia merupakan sesuatu yang wajib dikuasai segenap rakyat supaya dapat memupuk rasa cinta dan taat kepada negara.

``Kita sedar bahawa bahasa kebangsaan adalah bahasa pemersatu bangsa dan bahasa perpaduan di negara kita. Justeru, usaha untuk melibatkan pelajar dalam aktiviti bahasa dan sastera sangat tepat untuk dilaksanakan.

``Lebih istimewa lagi, kegiatan ini dibuat untuk pelajar yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Malaysia. Melentur buluh biarlah dari rebungnya,’’ katanya ketika merasmikan Malam Semarak Perpaduan: Perpaduan Melalui Bahasa Kebangsaan di sini malam tadi.

Festival Bahasa dan Sastera 2009 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka itu diadakan untuk pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Program yang berlangsung selama tiga bulan mulai Jun lepas, antara lain, menganjurkan pertandingan bercerita, berpidato, mendeklamasi puisi dan koir. - Bernama
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

02/08/2009 : KPI pendidikan boleh dicapai dengan beberapa pengubahsuaian - NUTP

KUALA LUMPUR 2 Ogos — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sektor pendidikan adalah realistik dan boleh dicapai dengan beberapa pengubahsuaian, kata Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng.

Beliau berkata pengubahsuaian perlu dilakukan dalam membentuk dan membangunkan kandungan kurikulum berkualiti termasuk kemahiran dalam bahasa Inggeris.

Fokus perlu diberikan kepada pendidikan prasekolah bagi memastikan kanak-kanak diajar tiga perkara asas iaitu membaca, menulis dan mengira.

Kesatuan berasa bersemangat apabila cadangan kesatuan untuk menjadikan pendidikan prasekolah sebagai sebahagian sistem pendidikan kebangsaan diterima kerajaan dan dijadikan satu daripada KPI, katanya kepada Bernama. - Bernama
Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Sabtu, 1 Ogos 2009

Telefon awam

minggu ini tema kemudahan awam. selaku guru prasekolah yang cemerlang, saya ingin sekali menarik minat murid-murid saya dengan ABM yang menarik. untuk minggu ini saya telah menghasilkan telefon awam daripada kotak.

bahan yang dugunakan:
1. kotak
2. gunting
3. pisau
4. tali
5. kertas warna
6. staple

cara-cara:
senang....potong aje jadi bentuk seperti telefon awam...lepas tu, balut dengan kertas warna. kalau dapat kotak kertas A4 indah kiat, tak perlu balut dah. jangan lupa, gagangnya. then, staple je gagang dan tali ke kotak telefon tu.

model: muhd ezzat firdaus
aktiviti: minta murid berbual dengan murid lain. murid seorang lagi boleh la menggunakan hp, hp mainan atau telefon rumah.




Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Hasil Kerja Murid 2009

berikut beberapa hasil kerja murid prasekolah kelas bintang, kelas saya la tu....

yang ni kolaj kapal..gambar lupa nak betulkan...bolehla kan? kalau tak silap, nureen punya ni.



yang ini pula hasil peraduan mewarna panitia pendidikan seni. yang ini dapat nombor 1. fatin nur batrisyia.



puzzle kapal selam. wan nur aliah...mmg warna cantik sangat2.tapi selalu lambat buat kerja. mengambil masa yang terlalu lama untuk mewarna. boleh hantar untuk peraduan mewarna tapi risau tak sempat mengikut peruntukan masa yang diberikan.



2 gambar di bawah ni pula hasil kerja kumpulan. murid-murid perlu melengkapkan bahagian-bahagian kenderaan yang saya telah 'hilangkan'...heheh...beginilah kalau kerja beramai-ramai....


Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Cukupkah sekadar pendidikan 3M?

oleh ANUAR AHMAD

PELAN Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 sedang disemak semula supaya sentiasa relevan dengan keperluan masyarakat. Tindakan ini memang perlu dan penting demi kesejahteraan dan pembangunan pendidikan negara.

Malah semakan terhadap PIPP ini juga jelas memberikan tumpuan kepada usaha pembangunan pendidikan luar bandar dan juga pendidikan rendah, sesuatu yang akan menentukan kejayaan sistem pendidikan negara.

UNESCO pada 2001 menetapkan Matlamat Pembangunan Pendidikan Millennium Kedua (MDG) untuk memastikan semua kanakkanak yang berumur tujuh tahun bersekolah di seluruh dunia pada 2015. Sehingga 2006, data menunjukkan lebih 115 juta pelajar tidak bersekolah manakala lebih 150 juta lagi keciciran atau tidak berjaya menamatkan pengajian di sekolah rendah di seluruh dunia.

Di Malaysia sahaja, data kementerian mengenal pasti terdapat seramai 125,000 kanak-kanak yang mencapai umur tujuh tahun tetapi masih belum berpeluang ke sekolah rendah.

Kajian oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkaitan kadar pulangan pelaburan pendidikan mendapati, pendidikan sekolah rendah memberikan pulangan modal perseorangan dan modal sosial yang paling tinggi berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan untuk sekolah menengah dan universiti.

Maksudnya setiap ringgit yang dibelanjakan untuk menjayakan pendidikan rendah akan menyebabkan masyarakat mendapat pulangan hasil yang lebih tinggi termasuk penjimatan kos pengurusan, misalnya pendidikan menangani masalah sosial seperti penagih dadah dan jenayah.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan penekanan kepada pendidikan rendah. Sesetengah orang tidak dapat membezakan antara pendidikan asas dan sekolah rendah.

Apakah yang dikategorikan sebagai pendidikan asas? Tentulah bidang ilmunya dan bukan status sekolah tersebut. Maknanya pelajar diberikan ilmu asas bukannya ilmu rendah. Ilmu asas di sekolah rendah boleh sahaja menjadi sangat mustahak, penting dan tinggi nilainya berbanding ilmu di sekolah menengah atau di universiti sekalipun. Penting pada pelajar dan lebih-lebih lagi pada pembangunan negara.

Jika ilmu asas tidak kukuh, maka ilmu lanjutan yang dipelajari di sekolah menengah dan universiti tentunya tidak jelas atau berkualiti tinggi di dalam diri pelajar. Kebetulannya di kebanyakan negara, pendidikan asas dilaksanakan sepenuhnya di sekolah rendah, maka kekeliruan ini berterusan di dalam masyarakat.

Pendidikan asas sebenarnya satu komponen ilmu yang diberikan kepada individu meliputi asas-asas kehidupan sama ada sebagai seorang individu manusia dan sebagai seorang ahli dalam sebuah negara.

Maka itu, pendidikan asas sering kali dikaitkan dengan akronim 3M (membaca, menulis dan mengira).

Sebenarnya pendidikan asas lebih daripada itu kerana pendidikan asas juga meliputi soal pendidikan kesihatan dan penjagaan diri, kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi serta berkaitan dengan pembangunan moral dan agama. Oleh itu apabila pendidikan rendah hanya menekankan soal pendidikan berkonsepkan 3M maka matlamat pendidikan asas gagal dicapai sepenuhnya semasa di sekolah rendah.

Pendidikan asas juga seharusnya tidak melibatkan satu proses pengaliran (streaming) yang rigid. Malah penilaian yang dilakukan kepada pelajar untuk pendidikan asas bukanlah sepatutnya melihat siapa yang paling pandai tetapi tumpuan sepatutnya diberikan untuk setiap pelajar mencapai tahap-tahap yang sepatutnya dicapai sepanjang program pendidikan asas.

Oleh itu, penggredan yang terlalu ketat melalui peperiksaan 'membunuh' potensi pelajar di dalam sistem pendidikan asas. Penilaian sepatutnya mengukur tahap-tahap yang telah dan belum dicapai tanpa membandingkan dengan ahli kumpulan yang lain.

Maka tidak hairanlah ada negara yang menggunakan istilah "sekolah asas" berbanding sekolah rendah. Pendidikan asas adalah satu konsep yang besar dan luar.

Tanpa mengira usia atau ruang, pendidikan asas boleh sahaja bermula sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, universiti atau di usia tua.

Maka pendidikan untuk orang dewasa juga meliputi aspek ilmu asas. Jika seseorang dewasa ingin mempelajari asas komputer dan teknologi maklumat maka kurikulum pendidikan asas sepatutnya menyediakan peluang pendidikan tersebut, berbanding pendidikan sekolah rendah yang hanya tertumpu kepada kanak-kanak semata-mata.

Justeru itu, ke manakah golongan dewasa yang buta huruf perlu pergi jika mereka ingin belajar? Apakah kita akan menghantar mereka ke sekolah rendah untuk mempelajari pendidikan asas membaca, menulis dan mengira?

Malangnya masyarakat sering melihat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai sangat penting tetapi melihat ujian asas seperti kebolehan membaca, menulis dan mengira atau sebarang peperiksaan untuk pendidikan asas tidak begitu penting.

Malah ujian kebolehan bertutur, membaca, menulis dan mengira dianggap sebagai remeh dan tidak mendapat perhatian sepenuhnya. Jika ditanya berapakah peratus rakyat kita yang benar-benar buta huruf, separa buta huruf atau tahap-tahap kemahiran mengira, sukar untuk dijawab dengan pasti oleh pihak kementerian hatta ahli akademik dalam bidang pendidikan sekalipun.

Media massa juga sangat kurang memberikan perhatian kepada pencapaian pendidikan asas berbanding keputusan peperiksaan di sekolah. Begitu juga guru sekolah rendah dikategorikan sebagai kurang penting berbanding guru sekolah menengah atau pensyarah universiti.

Lihat sahaja kelulusan yang diperlukan untuk menjadi guru sekolah rendah dan gred tangga gaji mereka berbanding guru sekolah menengah atau pensyarah universiti.

Maka itu sistem pendidikan asas perlu dipantau oleh pihak Kementerian Pelajaran agar tidak seorang pelajar pun tercicir daripada mendapat peluang pendidikan asas.

Jika kita tidak membuat persiapan dengan mengemaskan pendidikan asas dikhuatiri akan ada anak-anak yang tertinggal di peringkat sekolah rendah dan akan terus tercicir dalam mendapat peluang pendidikan di peringkat pendidikan yang lebih tinggi.

Di peringkat pendidikan asas, anak-anak ini akan belajar pelbagai perkara, bukan untuk tujuan dinilai di dalam peperiksaan tetapi didedahkan dengan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan. Kemajuan mereka dipantau secara dalaman oleh guru, dilakukan modifikasi tingkah laku dan strategi meningkatkan kognitif jika diperlukan.

Apakah guru kita terlatih untuk melakukan semua itu? Apakah latihan guru mempunyai topik penyelesaian masalah atau hanya sekadar mendedahkan bakal-bakal guru kepada teori-teori psikologi lama pendidikan yang sebahagiannya diragui oleh pakar pendidikan kontemporari?

Maka selepas pendidikan asas, anak-anak ini akan meneruskan pendidikan di peringkat pendidikan menengah dan tinggi.

Di peringkat asas, selain 3M yang menjadi keutamaan, kemahiran interpersonal, agama, nilai moral, jari diri kewarganegaraan, pendidikan kesihatan dan sukan serta keselamatan diri sepatutnya turut dilaksanakan.

Para pelajar juga seharusnya didedahkan kepada alam serta hubungannya dengan kehidupan manusia, seni dan muzik serta sains asas. Semua elemen ilmu asas ini digabung jalin dan tidak seharusnya terlalu terikat mengikut disiplin akademik tetapi satu bentuk kurikulum yang lebih berpusatkan pembangunan pelajar.

Kurikulum juga perlu lebih hidup dan menepati keperluan para pelajar untuk menguasai dan menguruskan kehidupan mereka.

Pakar-pakar kurikulum seharusnya lebih bijak untuk menentukan isi kandungan pelajaran, tahap serta pedagogi yang sesuai untuk melaksanakan pendidikan asas kepada para pelajar. Penggabungan kurikulum secara holistik akan lebih memberikan makna kepada pelajar berbanding sistem pendidikan sekarang yang terlalu terikat kepada disiplin ilmu yang khusus.

Matlamat akhir pendidikan asas ialah jika seorang anak di bandar besar seperti Kuala Lumpur boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, maka perkara yang sama juga boleh dilakukan oleh pelajar di sekolah pedalaman.

Jika anak-anak di Damansara tahu bahawa menjaga gigi itu penting untuk kebersihan diri, perkara yang sama juga perlu diketahui oleh pelajar di Long Pasia atau Long Batu.

Semua ini hanya boleh dilakukan jika pendidikan asas diselia dan dirancang dengan teliti. Guru-guru seharusnya mempunyai garis panduan pembelajaran dan pengajaran dan diberikan peluang untuk membina kurikulum sendiri berasaskan garis panduan tersebut.

Maka kita akan dapat melihat nanti anak-anak di Pulau Langkawi menjalankan pembelajaran mereka berasaskan kehidupan tempatan - suatu tempat yang rapat dengan kehidupan mereka.

Sementara anak-anak di Kuching pula akan juga mempelajari sesuatu yang rapat dengan mereka. Jika mereka belajar tentang pencemaran air, maka setiap anak-anak ini akan berpeluang untuk melihat pencemaran di sungai yang berdekatan. Jika mereka belajar tentang tempat bersejarah, maka mereka berpeluang menyelaminya sendiri di bandar atau daerah mereka.

Anak-anak ini pada peringkat asas belum lagi perlu untuk mempelajari sesuatu yang "jauh" dari mereka. Mereka bukan sahaja belum mengalami perkembangan kognitif yang lengkap sehingga umur mencecah 11 tahun (itulah pandangan umum para pakar teori perkembangan kanak-kanak), malah kurikulum yang di luar lingkungan bukan sahaja sukar tetapi tidak dapat menarik perhatian serta motivasi pembelajaran kanak-kanak.

Albert Einstein pernah berkata: "Jika ditanya pada anda apakah maksud pendidikan? Maka jawablah, pendidikan ialah perkaraperkara yang masih tertinggal di dalam ingatan seseorang apabila beliau sudah melupakan hampir semua perkara yang dipelajari semasa di sekolah dahulu".

Jika diingat-ingat kembali tentunya pembaca boleh bersetuju bahawa sebahagian besar perkara di dalam pendidikan asas bukanlah perkara yang mudah untuk kita lupakan.

PENULIS ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

LAWATAN PERGIGIAN KE 2

Pada 22 Julai 2009, klinik pergigian Kuala Kubu Bharu telah membuat lawatan pergigian ke SKBSB. namun, ini sebenarnya merupakan lawatan ke 2 buat prasekolah SKBSB.

seperti biasa, saban tahun, sememangnya lawatan pergigian ini merupakan aktiviti wajib bagi prasekolah. jururawat akan membuat sedikit ceramah berkenaan penjagaaan gigi, penyakit-penyakit oral serta cara mengatasinya kepada murid-murid.





Murid-murid memang kelihatan sangat berminat dengan ceramah pergigian ini. ye lah, sekali-sekala bertukar 'cikgu' pula. cikgu nurse. heheh. syabas kepada jururawat2 yang boleh berinteraksi dengan murid dengan baik sekali.



Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Jumaat, 31 Julai 2009

28/07/2009 : 200,000 kanak-kanak ke prasekolah

PUTRAJAYA 27 Julai - Lebih 200,000 lagi kanak-kanak dijangka dapat mengikuti pendidikan prasekolah menjelang 2012 hasil perincian Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) ketiga yang mahu memperluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, ketika ini terdapat kira-kira 300,000 atau 60 peratus kanak-kanak yang berpeluang memasuki pendidikan prasekolah.

''Setiap tahun kira-kira 500,000 kanak-kanak mendaftar memasuki tahun satu di sekolah kebangsaan di seluruh negara tetapi lebih kurang 200,000 yang menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

''Apa pun sasaran kita selepas 2012 adalah 100 peratus kanak-kanak yang memasuki tahun satu dapat melalui pendidikan prasekolah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperincikan enam bidang NKRA menyasarkan kira-kira 80 peratus kanak-kanak yang memasuki tahun satu pada setiap tahun telah melalui pendidikan prasekolah menjelang tahun 2012.

Bagaimanapun Alimuddin memberitahu, pihaknya tidak menghadapi masalah untuk mendidik kanak-kanak yang tidak mempunyai kemahiran 3M apabila memasuki tahun satu.

''Cuma berdasarkan kajian beberapa ahli pendidik sebelum ini, kanak-kanak yang mempunyai kemahiran 3M sebelum memasuki tahun satu akan mudah dilatih dengan kemahiran lain," katanya.

Ditanya mengenai 100 buah sekolah yang akan menyertai projek perintis Sekolah Berprestasi Tinggi, beliau berkata, pemilihan sekolah itu bukan hanya berkisar pada akademik tetapi juga pencapaian keseluruhan sekolah tersebut.

''Ia termasuk pencapaian disiplin pelajar, tahap penguasaan pelajar terhadap bidang keutamaan sekolah, kebersihan dan kekemasan sekolah serta kejayaan-kejayaan sekolah dalam bidang kokurikulum.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

Khamis, 23 Julai 2009

11/06/2009 Kenal pasti potensi generasi baru

KUCHING 10 Jun - Pendidikan prasekolah merupakan platform paling tepat bagi mengenal pasti generasi baru yang berpotensi untuk meneroka sumber negara pada masa depan.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, untuk tujuan tersebut, pendidikan awal perlu memberi tumpuan kepada kaedah terbaik bagi membangunkan potensi mereka.

Beliau berkata, kaedah itu diharap dapat membangkitkan minat serta keyakinan kanak-kanak sekali gus mendorong mereka untuk berdaya saing.

''Kita mahu negara ini mempunyai ramai anak-anak yang bijak pandai malah dikelilingi suasana kemajuan yang dicapai dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi.

''Saya berharap kita mampu menyediakan generasi muda untuk masa depan yang mempunyai potensi dalam meneroka sumber yang kaya untuk memajukan negara di samping memelihara warisan budaya masyarakat masing-masing,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kovensyen Pendidikan Prasekolah Siri 4/2009 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Taib bersetuju dengan cadangan Fatimah yang mahu mewujudkan Jawatankuasa Penetapan Piawaian Kualiti Prasekolah agar pendidikan awal mempunyai tanda aras bagi melahirkan generasi muda yang berkualiti.

Beliau turut mencadangkan dua kriteria untuk memperkasakan pendidikan awal iaitu menarik lebih ramai penyertaan ibu bapa dan menjemput pakar bagi memberi garis panduan serta kaedah lain dalam memantapkan potensi kanak-kanak.

Katanya, kualiti pendidikan awal perlu mempunyai tahap piawaian yang bersesuaian dari semasa ke semasa bagi melahirkan generasi muda yang cemerlang.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)

23/07/2009 Prasekolah: Pastikan guru, prasarana cukup

KUALA LUMPUR 22 Julai - Prasarana yang mencukupi serta penyediaan guru terlatih perlu sekiranya mahu menjadikan pendidikan prasekolah sebagai dasar pendidikan negara.

Pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Daud berkata, cadangan itu merupakan satu langkah yang bijak, bagaimanapun ia perlu disokong oleh kedua-dua perkara tersebut.

"Kerajaan perlu memastikan kelas prasekolah dilengkapi dengan pelbagai alat bantuan mengajar.

''Jika sekadar papan hitam serta cara mengajar bercakap biasa sahaja tidak memadai. Perlu ada alat pembelajaran yang ke hadapan seperti yang kita lihat di luar negara,'' katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, mengenai cadangan pihak kerajaan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada dasar pendidikan negara.

Langkah berkenaan bagi memastikan proses pemantapan bahasa Inggeris dapat dimulakan di peringkat awal.

Dalam pada itu, kata Abdul Rahman, langkah menjadikan prasekolah sebagai dasar pendidikan negara juga mampu mengatasi isu kemunduran pelajar.

"Sebelum ini memang tiada satu sistem untuk prasekolah sedangkan ada bermacam-macam prasekolah yang disediakan oleh pihak swasta serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Bagaimanapun, ada kanak-kanak yang mahu pergi dan ada yang tidak.

"Apabila wujud sistem yang seragam ini pastinya tidak boleh dielak oleh semua kanak-kanak,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hasan berkata, pelaksanaan sistem prasekolah tersebut perlu menitikberatkan kanak-kanak di kawasan luar bandar.

"Jika sistem prasekolah ini dilakukan, perhatian yang lebih mesti diberikan terhadap kanak-kanak di pedalaman. Kalau mahu memastikan semua pelajar di usia muda cemerlang jangan abaikan mereka.

"Melihatkan situasi sekarang pun, pelajar di luar bandar masih lagi ketinggalan. Jadi pastikan dalam pelaksanaan prasekolah ini mereka tidak ketinggalan, jika tidak sia-sia sahaja apa yang ingin dicapai," katanya.

Selain itu, katanya, sekiranya sistem prasekolah dapat diselaraskan antara sekolah kerajaan dan swasta, ia mampu mengurangkan jurang pendidikan.

"Kalau boleh selaraskan tadika swasta dan kerajaan.

''Itu lebih baik kerana selalunya apa yang kita boleh lihat sekolah swasta ini menyediakan prasarana yang lebih baik,'' jelasnya.

Sekiranya laporan ini menarik, sila tekan butang like di bawah :)